Jangan pandai-pandai makan ubat
Kalau berubat sendiri tanpa nasihat doktor
PERNAH tak anak-anak puan sakit atau demam? Bagaimanakah puan merawatnya? Mungkin kalau sakitnya teruk, puan akan berjumpa dengan doktor. Tapi kalau sakitnya ringan sahaja, apakah yang puan lakukan? Berubat sendiri.
Berubat sendiri memang menjadi satu perkara biasa bagi kita. Untuk menghilangkan sakit kepala, kita telan saja pil. Untuk melegakan batuk atau sakit kerongkong, kita minum saja ubat batuk. Mudah saja.
Ada juga yang mengamalkan perubatan tradisional seperti memberi air asam jawa kepada seorang yang mengidap sakit kerongkong atau memandikan pesakit dengan air beras supaya demamnya akan cepat kebah.
Tetapi dewasa ini amalan ini tidak begitu diambil beratkan sangat. Kalau ada pun, mungkin di kalangan orang-orang tua di kampung. Kalau yang tinggal di bandar, rawatan yang paling mudah ialah ubat-ubatan kimia. Tapi sayang sekali ramai para pengguna tidak tahu dengan mendalam mengenai kandungan ubat kimia ini.
Menurut Encik Alex Tan Choo Jaw, presiden Persatuan Farmakutikal Malaysia, berubat
sendiri tanpa nasihat seorang pakar boleh membawa maut. Jika kita mengidap penyakit ulcer dalam perut, kita tidak boleh mengambil aspirin untuk melegakan demam kita. Pengambilan aspirin boleh menyebabkan kematian sekiranya pesakit ulcer tidak mendapat rawatan segera selepas termakan aspirin.
Aspirin dipasarkan dalam bentuk tablet dan sirap dengan menggunakan berbagai jenama. Oleh itu para pengguna mendapati sukar untuk mengenali bahan kimia yang terkandung di dalam ubat-ubat ini.
Pengguna ubat-ubatan kimia ini didorong pula oleh iklan. Iklan-iklan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pengguna supaya membeli ubat-ubatan kimia. Kononnya pil-pil ini lebih mujarab, cepat melegakan, dan seribu macam dakwaan. Apa yang jelas ialah mereka menggunakan unsur-unsur moden dalam kata-kata mereka, hinggakan para pengguna akan merasakan diri mereka ketinggalan jika tidak mengamalkannya. Satu kesilapan besar oleh pihak pengeluar ubat-ubatan ini ialah mereka tidak melabelkan kesan-kesan sampingan yang mungkin timbul sekiranya pesakit itu mempunyai sebarang alergi.
Hal ini dibebani pula dengan adanya ubat-ubatan merbahaya dalam pasaran kita. Ubat-ubatan kimia di pasaran tidak diuji keselamatannya, kesan sampingan yang timbul dan kandungan merbahaya seperti raksa dan timah hitam.
Kebanyakan negara-negara maju telah pun mengharam kan ubat-ubat yang merbahaya. Oleh kerana para pengeluar tidak mendapat pasaran di negara Barat, lantas ubatan ini dihumban ke negara-negara Dunia Ketiga, di mana penguatkuasaan , adalah lemah.
Umpamanya clioquionol dan kompaun-kompaunnya — sejenis ubat merbahaya yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit cirit-birit. Bahayanya pertama sekali dikesan di Jepun. Orang ramai yang mengambil clioquionol didapati menderita akibat dari apa yang dinamakan "Sub-acute myelo-optic neuropath, (SMON)".
Penggunaan ubat ini telah mengakibatkan separuh lumpuh ke atas sistem urat saraf. Mangsanya mencapai bilangan 10,000 orang dan 5,000 daripadanya menemui ajal.
Ubat ini telah diharamkan di Jepun dan Amerika Syarikat tetapi tidak di Malaysia. Keselamatan para pengguna adalah penting. Kita tidak tahu kandungan kimia merbahaya yang mungkin terkandung dalam ubat-ubat ini. Jika kita tersilap beli atau termakan, kita mungkin akan menanggung akibat buruknya.
Prof. Martial Dumont dari Kongress Perubatan mengatakan ubatan kimia boleh membahayakan kandungan janin. Oleh itu ibu-ibu mengandung hendaklah berhati-hati apabila mengambil ubatan kimia untuk menyembuhkan penyakit-penyakit ringan. Jika ibu-ibu hendak berbuat demikian, biarlah di bawah arahan dan pengawasan seorang pakar atau doktor.
Satu lagi perkara, ada orang berpendapat yang lebih banyak memakan pil-pil vitamin, pil-pil kesihatan, badan kita akan menjadi kuat dan sehat. Anggapan ini adalah tidak tepat.
Terlalu banyak memakan pil-pil vitamin A dan D boleh melemahkan tulang dan mencacatkan anggota. la juga boleh melemahkan jantung. Berlebihan vitamin C boleh membuat seseorang itu mengidap penyakit ulcer iaitu luka di dalam perut.
Selain dari menaruh kepercayaan kepada pil-pil ini, para pengguna juga gemar meminum tonik kesihatan buatan tempatan. Umpamanya 'air badak' yang dikatakan boleh menyembuhkan berbagai penyakit dari sakit kepala hingga ke mati pucuk.
Kalau ubatan kimia dirasakan sebagai satu kemestian untuk menyembuhkan penyakit-penyakit ringan, setengah pengguna pula menganggap air badak ini sejuk dan boleh bertindak sebagai penawar untuk sebarang penyakit.
Tidak lama dahulu, Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang telah menjalankan satu ujian makmal ke atas kandungan kalsium sulphate di dalam air badak. Tiga jenama air badak diuji. Keputusannya ialah seperti berikut:
Tonik ini sepatutnya mengandungi bahan sumbu badak didapati hanya mempunyai air, kalsium suplhate dan bahan-bahan organik yang lain.
Air badak cap dua orang — air mencegah demam (Double Person Brand Anti-Fever Water) — 0.012 peratus bahan organik.
Air badan cap dua orang — air mencegah demam (botolnya berwarna perang) — 0.022 peratus bahan organik.
Air badan cap Tiga Kaki — air mencegah demam — 0.013 peratus bahan organik.Menurut ahli kimia, jumlah bahan-bahan organik, yang terdapat dalam sampel 'air -badak' adalah nyata dan jumlah bahan ini tidak menunjukkan adanya bahan sumbu badak di dalam tonik tersebut.
Ramai para pengguna, terutama sekali mereka yang tinggal di luar bandar diperdaya oleh pihak pengeluar yang mementingkan keuntungan saja. Yang paling ramai tertipu ialah ibu-ibu mengandung. Mereka ini terlalu yakin yang 'air badak' ini amat baik untuk kesihatan mereka dan juga untuk bayi yang dikandung.
Tetapi soalnya sekarang ialah orang ramai belum sedar mereka ini ditipu dan diperdayakan oleh para pengeluar yang tidak bertanggungjawab. Para pengguna— juga tidak tahu membezakan kandungan ubatan kimia. Tambahan pula dengan adanya khidmat pengiklanan. Saban hari kita didedahkan kepada iklan yang menjual jenama ubatan kimia dan tidak menitik-beratkan bahan-bahan kimia yang terkandung di dalamnya. Dengan ini, orang ramai lebih mengenali ubatan ini dengan nama dagangan.
Kita perlu berhati-hati bila menggunakan ubat-ubat ini. Begitu juga dengan tempat menyimpan ubat .Ramai pengguna dirumah tidak mempunyai tempat simpanan yang khas. Ada juga yang menyimpan ubat-ubat ini bersama-sama barangan lain.
Seharusnya semua ubat disimpan di dalam kotak kecemasan atau di dalam almari ubat. Ianya mesti diletak tinggi, jauh dari jangkauan anak-anak kecil, jika kanak-kanak termakan ubat yang beracun, ia mungkin menyebabkan kcmatian.
Ubat-ubat yang lama hendaklah dibuang. Jangan simpan ubat terlalu lama. Justru itu, sebelum puan memakan ubat atau memberi ubat kepada anak-anak puan, pastikan ianya masih baru — warnanya tidak berubah, kapsul atau tablet tidak mempunyai bintik-bintik, pecah atau hancur.
Penggunaan ubat yang tepat untuk sesuatu penyakit akan membantu proses penyembuhan. Tetapi bukankah lebih baik kalau kita menjaga kesihatan kita, elakkan diri dari jatuh sakit. Mencegah penyakit lebih baik dari mengubatinya!.
Thursday, March 5, 2009
BAHAYANYAA!!!!! Air badak
PRODUK JUALAN